Assalam

Assalam..Di sini aku siapkan layang-layang rasa yang sering tertangguh tanpa sebab.Kini aku lepaskan layang-layang rasa ini bebas berterbangan di ruangan Rampaian Ilham

Khamis, 3 Mei 2012

Jika


Jika dirimu kepunyaanku
akan kucipta kasihku
terindah di dunia
agar kautenteram
dalam dakapan
syurga cinta


Jika kautahu ketulusanku
pasti kau tidak mahu
berpaling hatimu
sentuhlah nadiku
nyawaku berjanji
seluruh hidup
untukmu


Hanya Tuhan yang tahu
apa ada dalam kalbuku
tertinggi harapan
hasrat satu impian
memilikimu
menyintamu


Pabila kamu bukan milikku
hanya doa yang bisa
temani hayatmu
menjauh akan kupergi
agar hilang rinduan
mampukah sebegitu?

Ahad, 4 Mac 2012

Dia Tenang

Dia datang ke hadapan hati,dia duduk berhadap
menyentuh jantung hati,
hulurkan salam lalu bertanya.
"Kenalkah kamu kepada aku?"
dengan amarah hati hulur jawabnya.
"Sungguh tidak,aku tidak mengenali kamu."
"Siapakah kamu ini?" soal hati panas.
Dia tidak menjawab malah berikan pertanyaan.
"Bagaimanakah rasa kamu pada saat ini?"
"Aku tidak tenang,aku resah dan marah,apakah kamu buta?
aku benci melihat kamu ini,lebih baik kamu pergi,pergi.." jawab hati dengan tempikan kuat bak halilintar membelah bumi.
Hati merasa ragu dan hairan seraya bertanya kepada 'dia' yang telah bangun mengangkat punggungnya dari lantai duduknya.
"Aku mahu tahu,siapakah kamu?" Namun tiada jawaban dari 'dia'.
"Aku tanya kepada kamu,siapakah kamu?" bersama amarah yang meledak,hati bersuara amat keras melontarkan pertanyaannya.Dia berhenti melangkah dan berpaling dengan senyuman mesra berwajah ikhlas.
Dia menjawab dengan suara bayu membelai rasa.
"Aku inilah yang kamu perlukan,akulah tenang,hadirku untuk menjadi sahabat kepada kamu."
Hati bungkam dan tenggelam dalam kekesalannya.






*Cubaan pertama dalam menukilkan cerpen pendek.
  Terima kasih sudi membacanya.

Aku Mahu Aku Beri

Telah aku ukirkan
pada tugu janjiku
halaman cintaku
tidakkan terpadam namamu kasih
tidakkan merekah walau sejari
dipijak,diinjak usia..


Bukan menulis tinta
nukilan menghibur
kedua hati kita
dapatkah kau bezakan
antara simpulan keikhlasan rasa
aku mahu cinta
aku berikan cinta


Lihatlah ke dalam mataku
di situ cerminan kamu
hanya kamu kemahuanku
menyempurnakan hidupku
dan satu kan tetap satu
aku adalah diri aku
kekal milikmu usah diragu
selama mana mahumu

Cerita Hati Kecil

Setelah kau ada
hati kecil ini

bermandikan cahaya
sinaran tenang
bahagia rasa warnai ceria
kupanjangkan doa,kekal selamanya


walau berganti zaman
hati kecil ini
sepohon kasihku 
berbunga perindu
terpaling indah dan kita kan diduga
kutanamkan sabar,mohonkan petunjuk-Nya



sepertinya bintang
memagari bulan
dan seperti lautan
ombak ke pantainya
sebegitu jua hati kecil ini
tak berpisah doa kekal bahagia..

Khamis, 1 Mac 2012

Pekebun Cinta

Tak perlu 
bulan bintang langit
mahupun matahari terang
cukup bagiku
pohon rendang berbuah
menjadi atap teduh
manis santapan


Tak perlu
seperti intan permata
mahupun emas mutiara
cukup bagiku
daun mengkuang anyaman terbentang
menjadi alas letih dan lelah


Aku ini lelaki biasa
pekebun cinta
di halaman fana 

Selasa, 28 Februari 2012

Sabtu, 18 Februari 2012

Salam

Salam
berjabat ukhuwah
dunia pun cerah
satukan arah
kalau padi subur rezeki
jangan lalang sembunyikan budi


Salam
berjalin ikatan
membenih hubungan
luruskan jalan
kalau dibibir menanam tebu
usah janji berasa hempedu


Salam
bercantum budaya
santun berbahasa
sanjung ibunda
kalau susu sebelanga manis
jangan nila tumpang setitis


Salam
berbunga senyuman
membuka sempadan
kasihkan insan
kalau tiang retaknya sejari
usah tanah tergadai sekali

Khamis, 16 Februari 2012

Cinta Sekali Lagi

Inginku himpunkan semua


bait-bait puisi


bahasa indah nan syahdu


memuja cinta dan rindu


padamu akan kuberikan


mendampingi masamu


tetapi itu bukannya aku


kau pun tahu..

Inginku nyatakan kasihku



tak terluahnya rasa


inginku simpan di dalam


hatiku keresahan


hadirmu menerbitkan rindu


semakin menderu


hadirmu menjelmakan mahu


menyinta sekali lagi..

Rabu, 15 Februari 2012

Mawar

Mawar
kupendam bicara
memuji harummu
dalam saku kalbu
ayu kelopak manjamu 
mahu kusentuh
bimbang kau kan layu

Mawar
kuntummu berseri
pujaan perindu
taman duniawi
sedang aku hanya angin bayu
menumpang lalu terhidu harummu


Mawar
rupamu memikat
jauh pun mendekat
hajat tak sampai
pada awan kukirimkan rasa
rintik hujan titisan kasih ini


Mawar
sungguhku tertawan
warnamu menawan
sebutan pujaan
dalam hati kudiamkan sayang
engkau mekar di halaman orang


Selasa, 14 Februari 2012

Bahasa Kita

Teman
sudilah kiranya
berkongsikan rasa
cintakan bahasa,
bahasa kita teguhkan dijiwa
indah bersantun bicara bangsa


teman
bukalah mindamu
memacukan ilmu
bahasa melayu
dilupa tidak dirosakkan jangan
susunan kata ayat bermakna

teman
semaikan semangat
pertahan martabat
bahasa bangsa
orang kita ada serata negara
bahasa kita satu dunia


teman
bukalah telinga
dengarkan suara
bahasa melayu
sedang sakit lemah tak terjaga
muda mudi seolah tak peduli


teman
serangkai percaya
berkilau di dada
warisan bangsa
generasi damba kemajuan
tak terbela ditinggalkan zaman


teman
sudilah kiranya
bersama membela
jiwa bahasa
jangan biarkan gugur bak dedaun
gugur ke tanah tak menjadi pohon

Selasa, 7 Februari 2012

Gym dan aku

n

Inilah tempat yang aku suka kunjung setiap minggu.Biasanya hari sabtu jam 8pm,buat latihan yang telah ditetapkan selama 1 jam ke 2 jam.aku buat ini untuk kesihatan dan secara tak langsung juga dapat membentuk badan aku.Dulu aku ni kurus bebenor macam papan.setelah setahun aku bergelumang dgn kepenatan aku dapat juga hasilnya walaupun tak seperti yang orang2 lain jangkakan,sekurangnya aku dah berbeza sdikit dari dulu.sekarang ni nak kekalkan keadaan fizikal ni secara tetap maknanya latihan di gym ini perlu diteruskan walaupun adakalanya bosan menguasai otak aku ni tetapi kena lawan dgn disiplin dan azam sendri..orang lain tak dapat tolong der..
 Paling susah adalah bab pemakanan,aku ni suka makan nasi lemak,nasi goreng,sambal tumis..malah makanan melayu ni kebanyakannya makanan yang berlemak tinggi.Untuk mencapai berat badan ideal atau nak besarkan otot aku kena kawal pemakanan aku.Sekarang aku cuba tukar menu sedikit demi sedikit..ayam bakar,ikan bakar..nasi bakar boleh dibuat juga ek.Aku pernah buat nasi bakar,ianya seperti nasi goreng cuma tak gunakan minyak masa memasaknya,yang penting ialah perencah serta kuali yang betul.Apa kenama kuali yg boleh memasak tanpa minyak tu aku dah lupa tapi itulah kuali yg sesuai untuk buat nasi bakar tu..sedap wo.Nasi lemak aku makan sebulan sekali je,orang fitness kata menu tipu untuk pembakaran lemak tinggi berlaku secara terkejut.Bila badan kita dah lama tak dapat lemak berkandungan tinggi ni pabila sesekali badan kita terima ianya akan agak terkejut maka metabolisme berlaku dgn secara besar.
 Aku bukan sasarkan badan seperti ahli bina badan..hee..itu tak mungkin akan aku buat kerana terlalu susah nak mengikutnya,dari segi latihan aku tak da masalah cuma dari segi pemakanannya itu lebih rumit,ekonomi poket kita juga memainkan peranan...belanja besar beb nak jadikan badan kita macam Sazali tu.contoh pemakanan berprotein tinggi;

  Telur 10biji setiap hari
  daging merah 1kg 3 kali 1minggu
  ayam dada dan peha sekerap mungkin
  ikan berprotein tinggi seperti ikan salmon,talapiar,kerap juga
  makanan tambahan seperti produk Whey,muscletech dll


  Sebenarnya banyak lagi yang kena ambil tahu untuk semua tu.cukuplah aku sekadar menjaga badan agar tak terlalu gemuk,tak terlalu kurus,sedang2 ajer dan terpenting sihat zahir dan batin..ahh penat dah menaip ni,otak pun dah koya dgn kekunci papan muka ..
  Rehat dulu...

Sejernih Embun

Embun yang jatuh
satu persatu
basah ke lantai bumi
hiba dedaun

cahaya bersilang
mencelah pepohon bisu
membakar embun
lenyaplah sawangnya
hilanglah dinginnya

esok masih ada
waktu dan nasib
sama serupa
embun yang jernih
redha hidupnya
dimamah siang

Dunia itu fana
datang dan pergi
sejernih embun

Rabu, 1 Februari 2012

Akmal Ziqry



Akmal Ziqry...kehadiranmu telah memberikan sinar baru buat ayah dan mama,umpama mentari pagi yang menerangi sekian alam. Ziqry..senyuman dan keletahmu amat menghiburkan kami,

Sangka Menyangka

Jangan resah gelisah
meneka hati
kebiruan lautan
dalamnya tak terselam
inikan pula 
hati seorang manusia

jangan gundah gulana
menduga rasa
mendung gelap di langit
tak tentu hujan ribut
begitu juga
rasa seorang pecinta

dalam membina kasih
bersabar jiwa
puncak gunung tertinggi
sukar hendak ditawan
apatah lagi
jiwa seorang kekasih


Sabtu, 28 Januari 2012

Musafir

Musafir lalu bercerita
dalam getar suaranya
ada butir-butir makna
mengisi batas kosong
minda dan hati
kepada yang sedar


perjalanan jangkaan jauh
sudah dekat tidak lama
destinasi sejengkal suria
sempadan dua negeri
penjara nyawa
jasad lebur 
roh tak berganti


musafir telah pergi
debu di kaki kembara
sarat erti



Satu yang Satu

Dalam berjuta
sinar bintang di matamu
hanya aku yang satu
sinar biasa
menemanimu.

dalam beribu
kuntuman mawar mewangi
menghiasi pandanganku
engkaulah bunga
satu milikku.

dalam yang satu
antara kasih abadi
pasti nyawa milik-Nya
kuharapkan jua
pergi bersama..

Sabtu, 14 Januari 2012

Merpati

Bulan Januari
merpati rakyat bebas
air dan api


Air perigi
beku dan sangat hitam
hati insani


Sebuah tasik
airmata merpati
serupa warna


Merpati terbang
menuntun kebebasan
awal dan akhir

Pepatung Desa

Pepatung desa
kenangkan kembang mawar
musim guguran


Luruh yang ada
lalang bukan sahabat
duka tak nampak


Pepatung desa
bermandi dingin malam
cerah hampa


Musim beralih
kembang depang cahaya
mawar pepatung

Belalang dan bintang



Di sini kabus

belalang lupa jalan


nanti cahaya



Di situ terang

pohon mangga berbunga


masa berubah









Seperti bintang

bersebelahan bulan


menumpang sinar



Mawar yang merah

terbangkan keharuman


bintangkan segar