Assalam

Assalam..Di sini aku siapkan layang-layang rasa yang sering tertangguh tanpa sebab.Kini aku lepaskan layang-layang rasa ini bebas berterbangan di ruangan Rampaian Ilham

Khamis, 27 Februari 2014


Aku tak boleh mengatakan tidak
telapak kaki yang memijak bumi
sama samarata, sama samarasa

mereka suka bermain ombak
lambung budi lambung hati
hempas pulas genggam kuasa

aku tak boleh mengatakan tidak
kuasa itu memberi pelbagai erti
utuh agama teguh nusa erat bangsa


27/2/14 - 2:36pm

Khamis, 3 Mei 2012

Jika


Jika dirimu kepunyaanku
akan kucipta kasihku
terindah di dunia
agar kautenteram
dalam dakapan
syurga cinta


Jika kautahu ketulusanku
pasti kau tidak mahu
berpaling hatimu
sentuhlah nadiku
nyawaku berjanji
seluruh hidup
untukmu


Hanya Tuhan yang tahu
apa ada dalam kalbuku
tertinggi harapan
hasrat satu impian
memilikimu
menyintamu


Pabila kamu bukan milikku
hanya doa yang bisa
temani hayatmu
menjauh akan kupergi
agar hilang rinduan
mampukah sebegitu?

Ahad, 4 Mac 2012

Dia Tenang

Dia datang ke hadapan hati,dia duduk berhadap
menyentuh jantung hati,
hulurkan salam lalu bertanya.
"Kenalkah kamu kepada aku?"
dengan amarah hati hulur jawabnya.
"Sungguh tidak,aku tidak mengenali kamu."
"Siapakah kamu ini?" soal hati panas.
Dia tidak menjawab malah berikan pertanyaan.
"Bagaimanakah rasa kamu pada saat ini?"
"Aku tidak tenang,aku resah dan marah,apakah kamu buta?
aku benci melihat kamu ini,lebih baik kamu pergi,pergi.." jawab hati dengan tempikan kuat bak halilintar membelah bumi.
Hati merasa ragu dan hairan seraya bertanya kepada 'dia' yang telah bangun mengangkat punggungnya dari lantai duduknya.
"Aku mahu tahu,siapakah kamu?" Namun tiada jawaban dari 'dia'.
"Aku tanya kepada kamu,siapakah kamu?" bersama amarah yang meledak,hati bersuara amat keras melontarkan pertanyaannya.Dia berhenti melangkah dan berpaling dengan senyuman mesra berwajah ikhlas.
Dia menjawab dengan suara bayu membelai rasa.
"Aku inilah yang kamu perlukan,akulah tenang,hadirku untuk menjadi sahabat kepada kamu."
Hati bungkam dan tenggelam dalam kekesalannya.






*Cubaan pertama dalam menukilkan cerpen pendek.
  Terima kasih sudi membacanya.

Aku Mahu Aku Beri

Telah aku ukirkan
pada tugu janjiku
halaman cintaku
tidakkan terpadam namamu kasih
tidakkan merekah walau sejari
dipijak,diinjak usia..


Bukan menulis tinta
nukilan menghibur
kedua hati kita
dapatkah kau bezakan
antara simpulan keikhlasan rasa
aku mahu cinta
aku berikan cinta


Lihatlah ke dalam mataku
di situ cerminan kamu
hanya kamu kemahuanku
menyempurnakan hidupku
dan satu kan tetap satu
aku adalah diri aku
kekal milikmu usah diragu
selama mana mahumu

Cerita Hati Kecil

Setelah kau ada
hati kecil ini

bermandikan cahaya
sinaran tenang
bahagia rasa warnai ceria
kupanjangkan doa,kekal selamanya


walau berganti zaman
hati kecil ini
sepohon kasihku 
berbunga perindu
terpaling indah dan kita kan diduga
kutanamkan sabar,mohonkan petunjuk-Nya



sepertinya bintang
memagari bulan
dan seperti lautan
ombak ke pantainya
sebegitu jua hati kecil ini
tak berpisah doa kekal bahagia..

Khamis, 1 Mac 2012

Pekebun Cinta

Tak perlu 
bulan bintang langit
mahupun matahari terang
cukup bagiku
pohon rendang berbuah
menjadi atap teduh
manis santapan


Tak perlu
seperti intan permata
mahupun emas mutiara
cukup bagiku
daun mengkuang anyaman terbentang
menjadi alas letih dan lelah


Aku ini lelaki biasa
pekebun cinta
di halaman fana 

Selasa, 28 Februari 2012